Sunday 4 October 2009

Hikmah Di Sebalik Musibah

Duplikasi dari ceramah seorang Mejar TLDM untuk dikongsi bersama.

Ceritanya mengenai hikmah. Bahawasanya setiap sesuatu yang berlaku keatas diri kita pasti ada hikmah disebaliknya. Mungkin tak nampak dipandang atau dirasai pada ketika itu, tetapi akan dihargai dan terserlah diketika yang lain.

Alkisah. Pada zaman dulu ada seorang raja. Baginda mempunyai seorang mufti yang alim dan sangat rapat serta menjadi penasihat kepadanya. Tok mufti yang alim lagi bijak ini demi memelihara hubungan dengan raja dan keselamatan negara, ia sentiasa mengambil jalan tengah didalam apa apa jua isu yang timbul. Dia menasihati raja dan begitu juga dirinya dengan berpegang pada satu prinsip apabila berlaku atau berdepan dengan masalah, peristiwa atau situasi suka duka – hendaklah sentiasa redha dan menerimanya sebagai satu ujian dari Allah yang pasti mempunyai hikmah disebaliknya. Demikian dalam kehidupan harian mereka, bila berlaku satu perkara , mereka akan memujuk diri sendiri dengan berkata “ pasti ada hikmah disebaliknya”.

Suatu hari raja teringin hendak makan buah epal. Baginda mahu mengupas sendiri buah epal tersebut. Dengan takdir Allah tiba-tiba pisau yang sangat tajam itu telah melukai salah jari baginda sehingga terputus. Alangkah sakitnya baginda. Sementara itu Mufti terus menasihati baginda agar bersabar dan redha kerana PASTI ADA HIKMAH DI SEBALIKNYA. Mendengar nasihat Mufti tersebut, baginda yang sedang dukacita itu menjadi marah lalu menjatuhkan hukuman penjara ke atas Mufti.

Saperti biasa, untuk melupakan dukacita, baginda akan mengatur rombongan masuk hutan berburu. Sekali lagi dengan takdir Allah, malangnya rombongan raja tersebut terperangkap dan ditawan oleh sekumpulan orang asli yang mengamalkan upacara pemujaan dengan mempersembahkan mangsa mereka dari kalangan manusia yang ditawan. Bagaimanpun pengiring-pengiring baginda berjaya melepaskan dan tinggal baginda berseorangan. Maka dibawalah baginda untuk dikorbankan dalam satu upacara penyembelihan.

Sebelum disembelih, seorang bomo datang memeriksa diri raja tersebut. Kemudian ditemuinya jari baginda yang cacat lalu bomo tersebut menolak mangsa mereka itu untuk dikorbankan kerana syarat pengorbanan menghendaki mangsa yang lengkap dan sempurna. Baginda lalu dilepaskan.

Setelah bebas, raja terus berlari balik ke istana dan tempat pertama ditujuinya ialah penjara untuk menemui Mufti. Baginda lalu berkata :

“ Benar lah kata Datuk Mufti, oleh kerana kecacatan jari inilah maka beta terselamat dari menjadi korban pemujaan kaum orang asli di dalam hutan. Maaf kan beta kerana telah memenjarakan Datuk Mufti.”

Tok Mufti menjawab
“ Tidak mengapa Tuanku. Semuanya itu ada hikmahnya. Jika tidak kerana tuanku penjarakan patik, tentulah patik yang menjadi korban pemujaan itu kerana sebelum ini kemana saja tuanku pergi, pasti bersama patik. Kita tidak pernah berenggang.

Benarlah kata Mufti tersebut. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Cumanya kita sedar atau tidak atau mungkin mengambil masa untuk menyedarinya.