Tuesday 14 July 2009

PELITA DARI PONDOK

Menjadi amalan para salafussaleh mereka itu menjadikan ziarah ulamak sebagai satu tradisi. Mereka berpesan jangan sampai tidak melihat wajah dan mendengar suara ulamak dalam tempuh melebihi tiga bulan. Maknanya dalam tiga bulan sekali mereka mesti menziarahi mana-mana ulamak untuk mendapatkan kata-kata nasihat serta wasiat iman. Sekiranya ulamak tersebut sudah pergi meninggalkan kita, maka sunat kita menziarah makam mereka sebagai memuliakan para kekasih Allah.

Di negara Malaysia tercinta ini , kita mempunyai ramai tokoh ulamak tersohor sejak dulu hingga kini. Nama-nama besar terdahulu seperti Tok Kenali, Tok Ku Paloh, Tuan Tulis, Sheikh Ahmad Idris AlMarbawi, Sheikh Mat Saman Kati, Tuan Hamid Kajang dll telah pergi dan meninggalkan khazanah ilmu yang mereka gali dengan gigih dari sumber AlQuran dan Hadith untuk panduan kita yang malas ini.

Selain kitab, mereka juga meninggalkan waris yang menentukan kesinambungan ilmu berterusan dan membuka ruang kepada kita untuk mengikut jejak salaf saleh dengan menjadikan ziarah ulamak sebagai sebahagian dari budaya hidup. Mereka ini ada yang bergerak secara sendirian dan ada yang membuka pondok-pondok pengajian tradisional mengikut jalan perjuangan masing-masing.

Kebanyakan mereka berpusat di negeri-negeri Kelantan, Trengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak .


Tidak jauh dari Bandar Darulaman, terletak di Kg. Tanjung Pauh kira-kira 3 KM ke utara Tok Jalai dan 2 KM arah selatan Pekan Jitra ialah makam Mufti Kedah yang pertama Tuan Syaikh Abdul Jalil Ibn Syaikh Abd Wahab iaitu seorang ulamak, sahabat, guru dan penasihat kepada D.Y.M.M Tuanku Muhamad Jiwa - Sultan Kedah ke 19.